Pages

Dec 12, 2011

Penduduk Kg Tailan-Pamilaan Tenom bina jalanraya dengan kos sendiri


Kampung Pamilaan Tenom- Bosan dengan sikap birokrasi yang diamalkan kerajaan, seorang penduduk kampung Jaitus Kintang 52, mengambil inisiatif membuat jalan raya menuju ke rumahnya dengan kos sendiri. Beliau adalah salah seorang daripada penduduk kampung yang mencetuskan idea tersebut untuk membina sendiri jalan raya ke rumahnya. Meski pun sedia maklum bahawa pembinaan jalan raya dan kemudahan penduduk adalah di bawah tanggungjawab kerajaan (JKR) namun beliau tidak yakin dengan sikap birokrasi kerajaan. Meski pun diambil perhatian oleh kerajaan, belum tentu kerja-kerja pembinaan itu dapat dilaksanakan dalam setahun dua katanya di Kampung Pamilaan. Beliau dan penduduk kampung sekitar yang amat memerlukan jalan raya tersebut mengeluarkan jumlah kos yang tinggi dengan harapan dan hasrat mendapat kemudahan jalan raya hingga ke rumah mereka.

Tambah Joitus, beliau pernah mengemukakan permohonan membina jalan raya tersebut sebelum ini, namun tidak yakin bahawa jalan tersebut dapat disiapkan dalam jangka masa setahun atau dua tahun. Beliau dan penduduk sekitar membina jalan sepanjang 1KM dari jalanraya sedia ada di kampung Pamilaan. Jelasnya, beliau pernah berbincang mengenai perkara tersebut kepada JKKK mengenai keperluan pembinaan jalanraya tersebut, namun seperti biasa tidak ada tindakan walaupun sudah bersabar dan menunggu lama.

Beliau membayar sendiri kos pembinaan jalan raya tersebut dengan mengupah jentera pembina jalan raya iaitu lebih kurang RM10 000. Tambah beliau, jalan raya tersebut kini memberi manfaat serta kemudahan kepada 9 buah rumah disekitarnya. Jalan raya yang dibina adalah merentasi sawah padi milik keluarganya sendiri.

Walaupun begitu, Joitus berharap agar pihak berwajib mengambil maklum atas pembinaan jalan raya tersebut dan perlu diletakkan di bawah tanggungjawab pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tujuan penjagaan atau penyelenggaraan kelak.

Joitus juga berharap agar tiada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan membuat dakwaan bahawa pembinaan jalan itu adalah projek mereka lalu mengemukakan tuntutan kos pembinaan dari jabatan-jabatan berkaitan.

Sementara itu, langkah Joitus itu yang berani mengambil inisiatif sendiri perlu diberikan penghargaan oleh pihak kepimpinan politik kawasan dan juga Pejabat Daerah.




Ini adalah pemandangan jalan raya tersebut yang dibina atas inisiatif sendiri merentasi sawah milik keluarga Joitus sendiri.






Olahan : Joe Milan